“AS perlu tahu, perang dengan Iran merupakan ibu segala peperangan,” kata Hassan seperti yang dilaporkan oleh agensi berita IRNA.

Iran berhadapan tekanan AS yang semakin meningkat akhir-akhir ini terma­suk sekatan selepas Trump memutuskan AS menarik diri daripada perjanjian antarabangsa 2015 terhadap program nuklear Iran.

Menurut IRNA, ketika berucap pada majlis perhimpunan diplomat Iran, Rouhani berkata: “Encik Trump, jangan bermain dengan ekor singa, ia hanya akan menyebabkan penyesalan.

“AS perlu tahu bahawa keamanan dengan Iran merupakan ibu segala keamanan dan perang dengan Iran ialah ibu segala pepe­rangan.

“Anda tidak berada dalam kedudukan untuk mengha­sut rakyat Iran terhadap keselamatan dan kepen­tingan negara kami,” kata Rouhani dalam rujukan jelas mengenai usaha yang dilaporkan oleh Washington untuk menjejaskan kerajaan Islam Iran.

Di Washington, pegawai AS yang mengetahui perkara itu memberitahu Reuters bahawa pentadbiran Trump telah melancarkan serangan dan komunikasi dalam talian yang bertujuan untuk memupuk keresahan dan membantu memberi tekanan kepada Iran agar menamatkan program nuklearnya dan sokongan terhadap kumpulan militan.

Bekas dan para pegawai semasa AS berkata, kempen terhadap pemimpin Iran dilakukan secara agresif, kadang-kadang menggunakan maklumat yang diperbesarkan atau bertentangan dengan pengumuman rasmi lain termasuklah komen oleh pentadbiran terdahulu. 
– Reuters