Beijing, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dikecam kumpulan aktivis, ahli akademik dan kerajaan asing kerana melakukan penahanan beramai-ramai dan pengawasan ketat terhadap penduduk Uighur serta etnik lain di Xinjiang.

Pada Ogos lalu, panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia menerima banyak laporan yang boleh dipercayai mengatakan bahawa sejuta atau lebih ramai etnik Uighur dan minoriti lain ditahan di kem-kem rahsia di rantau tersebut.

Dalam satu taklimat akhbar di Washington kelmarin, wakil-wakil daripada sekumpulan 278 cendekiawan merangkumi pelbagai bidang akademik dari berpuluh-puluh buah negara meminta China menamatkan dasar penahanannya.

Mereka juga meminta supaya sekatan dilaksanakan terhadap sebilangan pemimpin kanan China dan syarikat keselamatan yang disabitkan dengan pencabulan tersebut.

“Situasi ini mesti dita­ngani supaya tindakan mana-mana negara menindas populasi sendiri berdasarkan kriteria etnik atau agama tidak menjadi ikutan seterusnya diterima pada masa hadapan,” kata kumpulan itu dalam satu kenya­taan.

Menurut mereka, negara-negara dunia perlu mempercepatkan permohonan suaka daripada etnik minoriti Islam di Xinjiang di samping menerajui gerakan untuk PBB menyiasat sistem penahanan beramai-ramai tersebut dan menutup kem-kem tahanan.

China bagaimanapun menolak kritikan terhadap tindakannya di Xinjiang dan menyatakan bahawa ia melindungi agama dan budaya kaum minoriti, namun kata Beijing, langkah kese­lamatan perlu dilaksanakan bagi membendung penga­ruh kumpulan-kumpulan pe­lampau yang menghasut keganasan di rantau itu. – Reuters