Gempa cetek bermagnitud 6.9 itu menakutkan pelancong serta penduduk tempatan seminggu selepas satu lagi gegaran kuat melanda Pulau Lombok, mengakibatkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh.

Semalam pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa-mangsa terselamat yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan rumah, masjid dan sekolah. Bencana terbaharu itu melanda malam kelmarin.

“Seramai 98 orang terkorban dan 209 lagi me­ngalami kecederaan serius,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.

“Cabaran yang menanti kami ialah jalan raya rosak, tiga jambatan juga rosak dan sesetengah kawasan sukar untuk dimasuki. Kami pula kekurangan kakitangan,” tambahnya.

Terdahulu semalam, satu operasi dilancarkan untuk memindahkan kira-kira 1,200 pelancong dari Kepulauan Gili, merangkumi tiga pulau kecil yang terletak beberapa kilo­meter dari pantai di barat laut Lombok dan popular dalam kalangan pelancong serta penyelam.

Denink Ayu yang merupakan penyambut tetamu di sebuah hotel di Pulau Gili Trawangan membe­ritahu saluran berita CNN Indonesia bahawa semua orang panik selepas gegaran berlaku.

“Kami berebut untuk mendapatkan bot. Kami semua berkumpul di pelabuhan tetapi bot tidak mencukupi,” katanya.

Pulau Gili Trawangan merupakan pulau terbesar di Kepulauan Gili.

Bagaimanapun, lokasi paling teruk terjejas akibat gempa itu ialah Lombok. Gempa kuat itu mengakibatkan ribuan penduduk dan pelancong meluru ke luar untuk menyelamatkan diri. Ramai antara mereka memilih untuk bermalam di luar rumah ketika banyak gempa susulan termasuk gegaran bermagnitud 5.3 terus menggegarkan pulau itu.

Gempa bumi kali ini menyebabkan bekalan elektrik di banyak kawasan di Lombok terputus dengan sebilangan tempat masih bergelap semalam.

Sutopo berkata, sehingga 20,000 orang dipercayai dipindahkan dari kediaman mereka di Lombok, manakala pasukan paramedik, bekalan manakan dan ubat amat diperlukan.

Di bandar utama Lombok, Mataram, beratus-ratus mangsa terpaksa dirawat di pekarangan hospital-hospital yang rosak.

Ketua daerah Lombok Utara, Najmul Akhyar berkata, sekitar 80 peratus rantau itu mengalami kerosakan akibat gempa bumi tersebut.

“Kami memerlukan jentera berat kerana beberapa masjid runtuh dan sebilangan jemaah terperangkap di bawah runtuhan,” katanya kepada stesen televisyen tempatan, Metro TV. Pelancong luar juga berpusu-pusu cuba meninggalkan pulau itu.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam, berada di Lombok untuk persida­ngan keselamatan apabila gempa bumi itu berlaku. Beliau menceritakan di laman Facebook bahawa bilik hotelnya di tingkat 10 bergegar dengan kuat.

“Dinding merekah, adalah mustahil untuk saya berdiri,” katanya. – AFP