Laporan oleh Transparency International (TI) yang beribu pejabat di Berlin itu meninjau lebih 20,000 orang di 16 buah negara rantau Pasifik dari Pakistan hingga ke Australia.

Berdasarkan keputusan yang diperoleh, TI menyatakan, kira-kira 900 juta orang terpaksa memberi "duit kopi" sekurang-kurangnya sekali sejak 12 bulan lalu.

Kadar rasuah katanya, tertinggi di India dan Vietnam di mana dua pertiga responden mengaku terpaksa membayar sogokan untuk mendapatkan akses perkhidmatan awam seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Menurut TI, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Australia melaporkan kes rasuah paling rendah.

Kajian sama juga mendapati bahawa polis paling kerap meminta wang suapan dengan hampir satu pertiga responden yang berurusan dengan pegawai atau anggota polis sejak setahun lalu berkata, mereka terpaksa memberi sogokan.

Tambah TI, orang miskin paling teruk terjejas akibat gejala rasuah selepas 38 peratus responden mengaku mereka membayar wang suapan.

Walaupun golongan miskin lebih cenderung menjadi sasaran mendapatkan wang suapan di negara-negara seperti Thailand, India dan Pakistan, trend sebaliknya dilihat di Vietnam, Myanmar serta Kemboja.

"Kerajaan-kerajaan perlu me­lakukan lebih lagi untuk melaksanakan komitmen antirasuah mereka," kata Pengerusi TI, Jose Ugaz dalam satu siaran akhbar.

"Rasuah bukannya jenayah kecil, ia merampas pendapatan, ia menghalang pendidikan, ia menyekat penjagaan kesihatan dan akhir sekali, ia boleh membunuh," katanya. - AFP