Beberapa kematian lain juga disyaki berpunca daripada virus Nipah itu, manakala pihak berkuasa mengarahkan langkah kecemasan bagi mengawal wabak tersebut.

“Kami boleh mengesahkan bahawa lima orang meninggal dunia akibat virus Nipah,” kata pegawai pemerhati kesihatan negeri Kerala, K.J. Reena kepada agensi berita AFP.

Menurut laporan media, seramai 10 orang telah mati tetapi beberapa pegawai memberitahu AFP bahawa ujian terakhir ke atas beberapa kematian disyaki jangkitan virus Nipah itu masih belum selesai.

Reena berkata, seramai sembilan orang dimasukkan ke hospital kerana menghidap simptom virus itu dengan seorang disahkan positif. Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan, kadar kematian akibat jangkitan virus Nipah adalah 70 peratus.

“Kami juga mengesan 94 orang yang berhubungan dengan lima mangsa itu dengan mereka kini dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga,” tambah Reena.

Dalam pada itu, negeri Tamil Nadu yang berjiran dengan Kerala telah meningkatkan pengawasan di daerah-daerah bersempadan berikutan kebimbangan penyebaran virus Nipah.

Virus Nipah pertama kali dikesan di Malaysia dalam tahun 1998. Tiada vaksin untuk virus tersebut yang membunuh lebih 260 orang di Malaysia, Bangladesh dan India dalam beberapa wabak sejak tahun 1998. – AFP