Menurut laporan, keadaan itu berlaku kerana keluarga Anderson dari Springfield di sini berkongsi sejenis mutasi genetik sama, yang mengakibatkan kanser gaster warisan keturunan (HGDC).

Mutasi genetik itu dipercayai mempunyai kadar pembentukan kanser perut antara 56 hingga 70 peratus. Hanya 400 keluarga di seluruh dunia memiliki gen sama.

Salah seorang anggota keluarga Anderson, Frank, 63, telah meninggal dunia pada tahun lalu, manakala enam lagi ahli sudah menjalani pembedahan bagi membuang perut masing-masing.

Penghidap ketujuh dan paling muda ialah Lacy, 28. Doktor mengesahkan dia menghidap kanser perut tahap empat dan kini menjalani rawatan kemoterapi untuk penyakit itu selepas sel-sel kanser merebak di dalam badannya.

Semua ahli keluarga Anderson yang disahkan mempunyai penyakit itu kini menerima rawatan daripada dua institusi iaitu Universiti Chicago dan Institut Kebangsaan Kesihatan (NIH) di Maryland dekat sini. – Agensi