Bandar Douma yang menjadi kubu terakhir pemberontak di Ghouta Timur menjadi sasaran serangan udara baharu yang membunuh 70 penduduk awam dalam masa 24 jam, manakala 11 orang mengalami sukar bernafas.

Petugas-petugas kecemasan me­nuduh tentera dan militia yang setia kepada rejim Bashar menggunakan gas klorin beracun dalam serangan itu.

“Laporan ini sekiranya disahkan, adalah mengerikan dan menuntut tidak balas segera oleh masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

“Rejim Bashar dan penyokongnya mesti dipertanggungjawabkan dan serangan selanjutnya perlu dihalang segera.

“Rusia kerana sokongan tidak berbelah bahaginya kepada rejim Bashar bertanggungjawab ke atas serangan kejam ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, mayat 12 kanak-kanak, wanita dan lelaki dengan sebahagian mulutnya berbuih dipaparkan dalam satu klip video yang disebar oleh beberapa aktivis kemanusiaan.

“Bandar Douma 7 April, terdapat bau kuat di sini,” kata suara latar yang mengiringi rakaman itu.

Beberapa laporan pula menyatakan, angka korban serangan kejam itu melebihi 150 orang.

Pertubuhan bantuan perubatan, SAMS berkata, sebutir bom klorin mengenai hospital Douma, membunuh enam orang, manakala serangan kedua menggunakan agen saraf mengenai sebuah bangunan berdekatan.

Basel Termanini yang merupakan Timbalan Presiden SAMS, memberitahu agensi berita Reuters bahawa 35 orang maut di sebuah bangunan apartmen berdekatan, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Organisasi SAMS mengendalikan kemudahan rawatan dan menyokong pasukan perubatan di Syria.

Kenyataan bersama SAMS dan pasukan pertahanan awam pula menyebut, beberapa kemudahan perubatan menerima lebih 500 pesakit yang mengalami masalah pernafasan dengan badan berbau klorin.

Rejim Syria berulang kali dituduh menggunakan senjata kimia, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyalahkan tentera Syria berhubung serangan gas sarin ke atas kampung dikuasai pemberontak, Khan Sheikhun pada April 2017.

Serangan tentera Bashar ke atas Ghouta Timur telah meragut nyawa lebih 1,600 penduduk awam sejak Februari lalu. – AFP/ Reuters