Pulau yang terletak berdekatan destinasi percutian popular, Bali itu digegarkan dua gempa dahsyat pada 29 Julai dan 5 Ogos lepas. Pada Ahad lalu pula, Lombok dilanda gegaran baharu dan sejumlah gempa susulan dengan gegaran terkuat berukuran 6.9 magnitud.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata semalam bahawa keba­nyakan kematian berlaku di utara Lombok, sementara sebilangan penduduk juga maut di pulau berdekatan, Sumbawa.

Ramai mangsa mati akibat ditimpa serpihan ketika gempa menggegarkan seluruh pulau itu dan mengakibatkan kemusnahan meluas. Seluruh kampung ranap dengan jalan-jalan merekah, manakala banyak kediaman dan bangunan runtuh.

Menurut BNPB, kira-kira 390,000 orang hilang tempat tinggal selepas siri gempa bumi itu.

“Kami mengerahkan askar ke kampung-kampung yang sukar dimasuki,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.

“Terdapat banyak perkampungan yang sukar dimasuki walaupun menggunakan motosikal. Bantuan terpaksa dihantar dengan berjalan kaki,” tambahnya.

Kos pembinaan semula pula dianggarkan melepasi angka 7 trilion rupiah (RM1.9 bilion).

Indonesia berada dalam Lingkaran Api Pasifik di mana plat bumi berlanggar. Kawasan itu mencatatkan banyak kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Pada tahun 2004, gempa bumi kuat bermagnitud 9.1 melanda perairan Sumatera dan mencetuskan ombak besar tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh rantau ber­kenaan termasuk 168,000 di Indonesia. – AFP