Menurut media Indonesia, pekerja syarikat PT Istaka Karya itu ditembak mati kumpulan bersenjata ketika melakukan kerja membina jambatan di kawasan pergunungan di Kabupaten Nduga, Papua, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Papua, Ahmad Mustofa Kamal dipetik media Indonesia sebagai berkata, pekerja-pekerja itu yang sedang melakukan kerja pembinaan jambatan di Sungai Yigi dan Sungai Aurak, dilaporkan menimbulkan kemarahan kumpulan itu kerana bertindak merakam gambar anggotanya.

Beliau berkata, setakat pukul 9 pagi semalam, semua mangsa yang terkorban belum dikeluarkan dari lokasi kejadian.

Sementara itu Presiden Indonesia, Joko Widodo dipetik siaran televisyen tempatan sebagai berkata, pemerintah masih menyiasat kes berkenaan.

“Kawasan itu belum terdapat signal telekomunikasi, tapi kawasan itu sememangnya belum aman (terdapat ramai pembe­rontak), “ katanya.

Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono membe­ritahu, setakat pukul 11 pagi semalam, belum ada pengesahan berhubung kejadian itu.

“Pihak tentera telah dihantar bagi menyiasat laporan itu, namun kami ingin tegaskan kejadian sedemikian tidak akan menghentikan projek pembangunan infrastruktur di Papua,” katanya.

Kejadian tembakan itu dipercayai dilakukan kumpulan pemberontak Organisasi Papua Merdeka (OPM).

OPM adalah organisasi yang diwujudkan sejak tahun 1965 bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah Papua daripada Indonesia.

Terbaharu, seorang askar Indonesia mati akibat ditembak kumpulan pemberontak itu semasa menyiasat laporan insiden tersebut.

Beberapa pegawai berkata, pasukan polis dan tentera yang dihantar ke lokasi kejadian diserang oleh kumpulan pemberontak, mengakibatkan seorang askar maut dan seorang lagi cedera. – Bernama/AFP