Wu, 46, dikatakan mengalami serangan sawan, muntah dan sakit kepala yang kronik sejak enam bulan lalu menyebabkan dia mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Guizhou dekat sini baru-baru ini.

Pasukan doktor kemudian melakukan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang menunjukkan terdapat berpuluh-puluh kantung telur di dalam otaknya.

Wu mendakwa dia sebelum ini gemar memakan daging khinzir menyebabkan doktor percaya keadaan itu berlaku disebabkan daging itu mungkin tercemar akibat dimakan mentah atau kurang masak.

Kantung itu kemudian disahkan merupakan telur cacing pita sekali gus menyebabkan terdapat pengumpulan cecair di dalam otak secara berlebihan sehingga dia mengalami sawan.

“Beberapa telur larva itu kelihatan bergerak. Kami terpaksa melakukan pembedahan dengan penuh teliti bagi mengelak telur itu pecah di dalam otak,” kata seorang pakar bedah, Dr. Yang Ming.

Ming turut mengesahkan tiada sebarang parasit yang berada di dalam otaknya kerana boleh menyebabkan kerosakan lebih serius pada tisu otak apabila menetas menjadi cacing. – Agensi