Unit kecemasan tentera, UME berkata, pihaknya menghantar dua pasukan askar khas bersama 95 kenderaan untuk mengeluarkan lebih 3,000 kenderaan terkandas di lebuh raya AP6 yang menghubungkan Madrid dan bandar Segovia di barat laut Sepanyol.

“Kenderaan itu dikeluarkan satu persatu. Terdapat sebila­ngan kereta dengan bayi di dalam­nya dan mereka langsung tidak mempu­nyai bekalan makanan ataupun air,” kata jurucakap UME, Aurelio Soto.

Video yang dimuat naik di laman Twitter oleh perkhidmatan kecemasan menunjukkan anggota tentera dan polis menggunakan penyodok untuk membuang salji di sekitar kereta-kereta yang terpe­rangkap.

Laluan sepanjang kira-kira 70 kilometer di lebuh raya tersebut, tengah Sepanyol, dihalang oleh timbunan salji ketika orang ramai hendak kembali ke rumah selepas percutian Krismas berakhir.

Pengguna lebuh raya menggunakan media sosial untuk mengadu bahawa mereka terperangkap di jalanan sejak malam Sabtu lepas tanpa makanan dan pemanasan ketika suhu sejuk melampau.

“Suami dan saya tidak makan langsung kerana memberikan se­dikit makanan yang kami ada kepada anak-anak kami,” kata Sara Ramos yang terperangkap di dalam kenderaan selama 15 jam bersama suaminya dan dua anak mereka kepada saluran televisyen awam Sepanyol. – AFP