Berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin menuntut hak untuk pulang ke tempat asal mereka yang kini dikuasai Israel, mereka berkumpul di sepanjang pagar sejauh 65 kilometer dengan mendirikan khemah-khemah dalam protes enam minggu yang dirancang, kata pegawai tempatan. Tentera Israel dianggarkan berjumlah 30,000 orang.

Pihak tentera berkata, anggotanya menggunakan peluru hidup bagi mena­ngani penduduk yang cuba memecahkan pagar keselamatan sempadan, mana­kala sesetengah mereka menggolekkan tayar yang dibakar serta membaling batu.

Pegawai perubatan Palestin berkata, tentera Israel menembak ke arah penunjuk perasaan selain turut menggunakan gas pemedih mata serta peluru getah. Saksi berkata, pihak tentera turut menggunakan dron sekurang-kurangnya di satu lokasi untuk menjatuhkan gas pemedih mata.

Salah seorang mangsa yang meninggal dunia ber­usia 16 tahun dan kira-kira 400 orang cedera akibat ditembak menggunakan peluru hidup, manakala selebihnya terkena peluru getah atau terhidu gas pemedih mata, kata pegawai perubatan Gaza.

Demontrasi itu dilancarkan pada sambutan Hari Tanah iaitu acara tahunan bagi memperingati kematian enam penduduk Arab Israel yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel semasa tunjuk perasaan terhadap kerajaan yang merampas tanah di utara Israel pada tahun 1976.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meminta dilaksanakan satu siasatan bebas dan telus terhadap keganasan yang berlaku antara pa­sukan keselamatan Israel dan penunjuk perasaan Pa­lestin di Gaza.

Beliau juga merayu mana-mana pihak berkaitan supaya tidak mengambil apa-apa tindakan yang membawa lebih banyak kecederaan. – Reuters/Bernama