Pengarah Persatuan Palang Merah Antarabangsa di PNG, Udaya Regmi berkata, gempa bermagnitud 7.5 itu mengakibatkan kediaman milik kira-kira 7,000 orang musnah atau rosak, manakala 147,000 penduduk amat memerlukan makanan, air dan sanitasi.

Tanah runtuh menyebabkan jalan raya tidak dapat dilalui sekali gus menghalang penghantaran bantuan ke tempat-tempat yang paling memerlukannya.

“Jalan menjadi halangan. Ia masih tidak boleh dilalui oleh lori dan kenderaan pacuan empat roda,” kata Regmi.

PNG mengisytiharkan darurat di rantau yang dilanda gempa bumi pada minggu lalu tetapi skala bencana itu belum diketahui sehinggalah pekerja bantuan dan pihak berkuasa dapat menyelesaikan pemeriksaan di kawasan terjejas.

Satu laporan oleh Program Makanan Sedunia dua hari selepas gempa itu melanda rantau Tanah Tinggi Selatan pada 26 Feb­ruari lalu menganggarkan 465,000 orang terdedah kepada bencana itu dengan 143,000 memerlukan bantuan kemanusiaan segera dan 64,000 lagi menderita kekurangan makanan. – Reuters