Kira-kira dua minggu lalu, pasangan David dan Louise Turpin ditahan pihak berkuasa selepas didapati mengurung, menggari serta tidak memberi makan 13 anak mereka di sebuah kediaman di Perris di sini.

Menurut laporan, Yayasan Sistem Kesihatan Universiti Riverside dan Dewan Perdagangan Corona menubuhkan akaun bagi mengumpul sumbangan untuk adik-beradik yang berusia antara dua hingga 29 tahun itu.

Sehingga Rabu lalu jumlah kutipan oleh pihak yayasan itu adalah sebanyak AS$249,365 (RM969,360), manakala Dewan Perdagangan Corona mengumpul sebanyak AS$178,000 (RM691,940).

Sumbangan diperoleh daripada komuniti setempat, warga Amerika Syarikat serta beberapa negara lain termasuk Jerman dan Singapura.

David dan Louise masing-masing kini berdepan 12 pertuduhan penderaan dan kesalahan mengurung, tujuh kes penderaan individu dewasa dan enam pertuduhan penderaan kanak-kanak. David juga berdepan dakwaan perbuatan lucah ke atas kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun. – Agensi