Duterte yang memenangi Pilihan Raya Presiden pada 2016 berjanji untuk membasmi dadah dan melancarkan kempen yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Ketua Superintendan, John Bulalaco mengesahkan bahawa seramai 102 orang suspek pengedar dadah te­lah dibunuh antara 5 Disember 2017 hingga 1 Mac lalu apabila Duterte mengarahkan pihak polis menyertai kempen itu semula.

Pada Oktober tahun lalu, Duterte telah mengumumkan bahawa Agensi Pe­nguatkuasaan Dadah Filipina akan menggantikan tugas polis dalam operasi membanteras narkotik berikutan wujudnya bantahan awam termasuk protes jalanan yang jarang berlaku.

Tetapi Duterte, 72, ber­ulang kali mengatakan bahawa agensi antidadah yang hanya mempunyai kira-kira 2,000 anggota, tidak mampu untuk mengendalikan operasi itu secara berkesan.

Beliau akhirnya mengarahkan polis kembali dalam kempen antidadah tanpa sebarang pembaharuan utama pasukan.

Menurut statistik yang disiarkan secara berasi­ngan oleh kerajaan, seramai 4,021 pengedar dadah telah dibunuh antara Jun 2016 hingga 8 Februari tahun ini.

Aktivis mendakwa sekitar 12,000 orang telah terbunuh dalam kempen tersebut dan memberi amaran bahawa Duterte mungkin melakukan jenayah kemanusiaan.

Pada awal Februari, pendakwa raya daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata, pihaknya telah membuka pemeriksaan awal terhadap dakwaan tersebut.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan Filipina mengatakan ia bersedia untuk membenarkan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke negara itu untuk menilai tuduhan berkenaan.

Tetapi setiausaha luar te­lah meminta keadilan dalam siasatan, dan Duterte telah memberitahu polis dan tentera agar tidak bekerjasama dengan pelapor itu.

“Jika mereka bertanya kamu tentang salah laku, ja­ngan jawab. Jika mereka tanya mengapa, beritahu mereka bahawa kamu mempunyai ketua komander,” kata Duterte kepada pihak polis dan tentera pada Khamis lalu. – AFP