Pakatan pemberontak di wilayah bersebelahan, Idlib menafikan terbabit dalam kejadian tersebut.

Agensi berita rasmi, SANA melaporkan, terdapat 107 kes kesukaran bernafas dalam angka yang dikemas kini semalam.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) menyatakan, seramai 94 orang telah dimasukkan ke hospital tetapi kebanyakan mereka dibenarkan pulang, manakala baki pesakit bukan kritikal.

Lewat kelmarin, SANA menuduh kumpulan pemberontak melancarkan serangan gas beracun ke atas bandar Aleppo di utara Syria. Menteri Kesihatan rejim Bashar, Ziad Haji Taha berkata, bahan toksik yang digunakan berkemungkinan gas klorin.

Pada hari sama, seorang jurugambar agensi berita AFP melihat sebilangan lelaki, wanita dan kanak-kanak dirawat di Hospital Aleppo kerana sukar bernafas.

Bagaimanapun, pakatan pemberontak di Idlib menafikan pembabitan dalam kejadian itu.

“Kami pakatan Barisan Pembebasan Nasional menafikan terlibat dengan jenayah itu. Rejim Bashar berbohong bahawa kami menyasarkan bandar Aleppo dengan bedilan peluru berpandu, apatah lagi, misil yang mengandungi gas klorin,” kata pakatan itu dalam satu kenyataan. – AFP