Keganasan itu berlaku ketika militia dan tentera prokerajaan turut dijangka memasuki bandar Afrin, utara Syria yang dikuasai pemberontak Kurdis bagi menghadapi kepungan selama sebulan oleh tentera Turki.

Dikuasai oleh pemberontak sejak 2012, Ghouta Timur merupakan kubu penentang terakhir di pinggir Damsyik, manakala Bashar mengerahkan pasukan tentera tambahan ke daerah itu dalam usaha menawannya kembali.

Tentera Syria melancarkan serangan udara, roket dan bedilan artileri ke arah beberapa buah bandar di sekitar Ghouta Timur kelmarin.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak merupakan antara 100 penduduk awam yang maut dalam serangan itu, manakala kira-kira 300 yang lain cedera.

“Rejim Bashar mengebom Ghouta Timur untuk memberi laluan kepada serangan darat,” kata ketua badan tersebut, Rami Abdel Rahman.

Penentang utama rejim Bashar, Pakatan Nasional yang berpangkalan di Turki mengutuk ‘perang penghapusan’ itu di Ghouta Timur dan sikap masyarakat antarabangsa yang membisu.

Dalam satu kenyataan, ia menuduh sekutu rejim Bashar, Rusia cuba ‘menguburkan proses politik’ sebagai penyelesaian kepada konflik di Syria.

Di bandar Hamuriyeh di Ghouta Timur, penduduknya berlin­dung di kediaman masing-masing sebaik sahaja mendengar bunyi deruman jet perang.

Pemuda Hammuriyeh berusia 23 tahun, Alaa Al-Din berkata, orang awam ketakutan berhubung kemungkinan serangan oleh tentera kerajaan.

“Nasib Ghouta Timur tidak dapat dipastikan. Kami tiada apa-apa kecuali memohon belas kasihan Tuhan dan berlindung di dalam bilik bawah tanah kami,” katanya.

Bedilan meriam turut mengenai bandar Douma, malah seorang koresponden AFP melihat lima anak kecil dilitupi debu dan meraung ketika dibawa ke sebuah hospital.

Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria dan akhbar Syria, Al-Watan berkata, rundingan sedang berjalan untuk memindahkan pejuang pemberontak dan militan keluar dari Ghouta Timur.

Namun, bedilan dan pengeboman bertubi-tubi itu memba­yangkan rejim Bashar tidak akan memberi laluan keluar kepada mereka dan akan melancarkan serangan darat.

Tentera Bashar melancarkan kempen pengeboman selama lima hari berturut-turut awal bulan ini yang mengakibatkan kira-kira 250 orang awam di Ghouta Timur terbunuh dengan ratusan lagi cedera.

Rejim Bashar mahu menguasai semula Ghouta Timur untuk menghentikan bedilan roket pemberontak ke Damsyik. – AFP