Perhimpunan itu juga diha­diri oleh bekas jeneral, Prabowo Subianto, pemimpin nasionalis yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan Islam Indonesia. Perhimpunan itu antara lain, merupakan usaha Prabowo meraih soko­ngan komuniti Islam bagi menumbangkan Presiden Joko Widodo dalam pemilihan tahun hadapan selepas tewas tipis pada pilihan raya Presiden 2014.

Ramai peserta perarakan itu memakai pakaian putih dan mengibarkan bendera Islam. Mereka mula berkumpul di Tugu Monas sejak pukul 3 pagi semalam untuk solat berjemaah.

“Kita berbangga kerana Islam di Indonesia adalah Islam yang menyatukan dan bersatu dan kita akan mengekalkan keamanan untuk semua orang,” kata Prabowo dalam ucapannya.

Beribu-ribu anggota polis dikerah bersiap sedia tetapi perhimpunan itu berlangsung dengan aman.

Penganjur menggambarkan perhimpunan kali ini sebagai ‘pertemuan semula’ kepada siri demonstrasi besar-besaran yang bermula pada hujung tahun 2016.

Demonstrasi tersebut bertujuan untuk menyingkirkan Gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih popular dengan gelaran Ahok kerana menghina Islam. Beliau merupakan etnik Cina beragama Kristian pertama memegang jawatan itu.

Sementara itu, Joko juga cuba meraih sokongan dengan memilih ulama berusia 75 tahun, Ma’ruf Amin sebagai regunya untuk jawatan Naib Presiden Indonesia pada pilihan raya tahun depan. – Reuters