Anggaran 18.1 juta kes kanser baharu diramalkan di seluruh dunia pada tahun ini bersama 9.6 kematian, demikian menurut laporan oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC).

Angka tersebut meningkat daripada anggaran 14.1 juta kes baharu kanser dan 8.2 juta kematian yang dilaporkan dalam penilaian terakhir IARC enam tahun lalu.

Peningkatan angka korban itu antaranya disebabkan oleh populasi dunia yang bertambah dan semakin tua di samping penduduk di negara-negara membangun mengamalkan gaya hidup tidak sihat serta berisiko tinggi.

Menurut IARC, rantau Asia yang begitu ramai penduduk, merangkumi hampir separuh daripada ke­seluruhan kes kanser baharu itu dan lebih separuh kematian akibat kanser pada tahun ini.

Kanser paru-paru kekal pembunuh utama dan bertanggungjawab terhadap kira-kira 1.8 juta kematian iaitu hampir satu perempat kematian global akibat barah.

Bagi wanita pula, barah payu dara menyumbang 15 peratus kematian akibat kanser diikuti kanser paru-paru (13.8 peratus) dan kanser kolorektum (9.5 peratus).

Dalam laporannya, IARC juga bimbang tentang peningkatan penyakit kanser paru-paru dalam kala­ngan wanita. Kanser paru-paru kini menjadi punca utama kematian akibat penyakit kanser dalam kalangan wanita di 28 buah negara termasuk Denmark, Belanda, China dan New Zealand.

“Angka terbaharu ini membayangkan bahawa banyak yang perlu dilakukan untuk menangani peningkatan penyakit kanser di seluruh dunia, manakala pencegahan memainkan peranan utama,” kata pengarah IARC, Christopher Wild. – AFP