Laporan bertajuk ‘Pelbagai Penyisihan’ itu menyenaraikan 175 buah negara yang mempunyai kes penggunaan buruh kanak-kanak, pengabaian pendidikan, perkahwinan kanak-kanak dan kehamilan awal.

“Kajian itu menunjukkan bahawa 1.2 bilion orang kanak-kanak di seluruh dunia diancam sekurang-kurangnya satu daripada tiga ancaman utama tersebut,” kata laporan berkenaan.

Lapan daripada 10 buah negara yang disenaraikan terburuk untuk kanak-kanak terletak di barat dan tengah Afrika dengan kes terbesar di Nigeria.

Sementara Singapura dan Slovenia digolongkan sebagai negara yang mempunyai kadar terendah mempunyai masalah penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Lebih separuh daripada kanak-kanak dunia memulakan kehidupan dalam keadaan tidak menentu kerana mereka adalah seorang gadis, miskin atau membesar dalam zon perang.

“Kerajaan sepatutnya melakukan sesuatu bagi memberikan setiap kanak-kanak itu permulaan yang terbaik dalam kehidupan mereka,” kata Ketua Eksekutif badan amal tersebut, Helle Thorning-Schmidt.

Laporan itu turut menyatakan bahawa le­bih daripada satu bilion kanak-kanak tinggal di negara-negara yang dilanda kemiskinan, manakala 240 juta orang lagi di negara-negara yang terjejas akibat konflik dan kerajaan tidak stabil.

Lebih daripada 575 juta kanak-kanak perempuan pula tinggal di negara-negara ‘kesaksamaaan jantina menjadi isu yang serius’, demikian menurut laporan tersebut.

Sebanyak 20 negara termasuk Sudan Selatan, Somalia, Yemen dan Afghanistan menyumbang kepada jumlah 153 juta orang kanak-kanak yang hidup dalam ketiga-tiga ancaman iaitu buruh kanak-kanak, pengabaian pendidikan dan perkahwinan awal. – AFP