Satu pasukan daripada sebuah makmal di sini masih meneruskan usaha mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan cebisan mayat dengan bantuan kemajuan teknologi. Usaha ini dilakukan setiap hari.

Cebisan tulang yang diambil di lokasi serangan WTC itu dikisar menjadi serbuk lalu dicampur bersama dua jenis bahan kimia untuk mengekstrak asid deoksiribonukleik (DNA). Tiada jaminan diberikan berhubung kejayaan ujian itu.

“Tulang adalah material biologi paling sukar untuk diuji,” kata Penolong Pe­ngarah Biologi Forensik di Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan New York, Mark Desire.

“Tambahan pula, apabila terdedah kepada objek lain di Ground Zero (bekas tapak bangunan WTC) seperti kebakaran, kulat, bakteria, cahaya matahari, bahan api, mi­nyak diesel, ini semua memusnahkan DNA. Jadi, sampel DNA yang ada adalah terlalu kecil,” katanya.

Sebanyak 22,000 bahan cebisan mayat yang ditemui di lokasi itu sejak serangan telah diperiksa, dengan sebilangan antara 10 hingga 15 kali diuji.

Setakat ini, hanya 1,642 daripada 2,753 mangsa yang terkorban dalam serangan di Bandar Raya New York telah dikenal pasti secara sah.

Terdapat 1,111 lagi belum dapat dikenal pasti identiti mereka.

Pada Julai lalu, makmal itu berjaya mengenal pasti seorang lagi mangsa terkorban dalam sera­ngan WTC dalam serangan pada 11 September 2011 (9/11) itu.

Mendiang adalah Scott Michael Johnson, 26, yang bekerja sebagai penganalisis kewangan di tingkat 89 Menara Selatan. – AFP

Gambar fail pada 11 September 2001 menunjukkan satu letupan berlaku di menara selatan WTC selepas dirempuh pesawat penerbangan United Airlines.

Seorang pekerja makmal melakukan ujian DNA di Bandar Raya New York.