Sewaktu ditemui pada pukul 9.45 malam, Muhammad Zaidanie Amsyar Zaidi dan adik lelakinya, Muhammad Zaidanie Amar dipercayai berpaut pada batang pokok bakau setinggi hampir 3.4 meter berkenaan selama kira-kira lima jam sebelum diselamatkan.

Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah berkata, sewaktu ditemui dua budak lelaki itu dijumpai dalam keadaan menangis dan berpelukan akibat kesejukan pada pokok bakau berkenaan.

"Mereka ditemui pasukan mencari dan menyelamat di atas pokok bakau itu yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi selipar kedua-dua beradik dijumpai di alur Sungai Paka dekat sini.

"Kedua-dua mangsa yang leka bermain di kawasan alur sungai tersebut dikatakan memanjat pokok bakau itu bagi menyelamatkan diri selepas paras air sungai tiba-tiba pasang sehingga dua meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE