Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab ber­kata, penganjuran dilakukan bagi membolehkan pelumba negara mendapat lampu hijau dari Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) untuk bertanding pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia akan datang.

“Penganjuran kejohanan berbasikal kelas A adalah syarat yang diberikan oleh UCI kepada mana-mana negara yang mahu pelumba mereka bertanding pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia.

“Biarpun tidak ada penyertaan sehingga­ 10 negara, status kejohanan tersebut masih dapat diklasifikasikan dalam kelas A dengan penyertaan minimum lima negara.

“Saya percaya kejohanan ini juga bukan sahaja menjadi medan pemanas badan kepada pelumba negara sebelum turun pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2020 Oktober depan di Korea Selatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kejuaraan Berbasikal Trek Dunia 2020 bakal berlangsung di Berlin, Jerman pada 26 Februari hingga 1 Mac tahun depan.

Tiga pelumba prospek negara yang akan mengambil bahagian ialah Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Mohd. Fadhil Zonis.

Dalam pada itu, Abu Samah turut mengharapkan pelumba negara yang sedang dirundung masalah prestasi seperti Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd. Adnan, Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin membuktikan keupayaan diri pada saingan tersebut.

Kesemua pelumba tersebut masih diberi peluang sehingga Oktober ini untuk memperbaiki prestasi atau berdepan tindakan digugurkan dalam program podium.